Doa Selamat bagi rombongan Bi’thah Perubatan Haji, warga Kementerian Kesihatan





Oleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid





 

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 7 Mei. - Bagi sama-sama meraikan rombongan Bi'thah Perubatan Haji dan warga Kementerian Kesihatan yang bakal menunaikan fardu haji pada tahun ini, kementerian tersebut telah mengadakan Majlis Doa Selamat bagi Rombongan Bi'thah Perubatan Haji dan Bakal Jemaah Haji Kementerian Kesihatan bagi Tahun 1445H/2024M bertempat di Dewan Al'-Afiah, Kementerian Kesihatan, di sini.

 

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.

 

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, dan diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua Rombongan Bi'thah Perubatan Haji bagi Musim Haji 1445H, Dr Haji Mohammad Athaaillah bin Haji Abdullah.

 

Kemudian majlis diteruskan dengan Penyampaian Surat Lantikan kepada Rombongan Bithah Haji Perubatan dan sumbangan derma kepada bakal jemaah haji seramai 38 penerima yang terdiri daripada 9 lelaki dan 29 perempuan daripada pegawai dan kakitangan Kementerian Kesihatan.

 

Setelah itu, majlis diikuti dengan Penyerahan Perlindungan Skim Takaful Duyufur Rahman dan Beg Khas bagi Rombongan Pegawai Perubatan Haji Kementerian Kesihatan bagi Tahun 1445H / 2024M.

 

Pada tahun ini, seramai 20 orang Pegawai-Pegawai Perubatan Haji yang mengikuti rombongan, terdiri daripada enam pegawai perubatan dan 14 pegawai kejururawatan.

 

Seperti lazimnya, sebahagian daripada pegawai-pegawai perubatan haji ini akan bertolak lebih awal dan yang lainnya akan mengiringi Jemaah di setiap penerbangan.

 

Majlis diteruskan dengan penyampaian 'mock cheque' dari Insurans Islam TAIB dan cenderahati dari Darussalam Holdings, dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Ketua Guru Ugama, Unit Perkhidmatan Ugama Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Awang Ahmad Syuja'iee bin Begawan Mudim Haji Matassim.

 

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Awang Haji Maswadi bin Haji Mohsin; Pemangku Pengarah Urusan Perbadanan TAIB dan Ahli Lembaga Insurans Islam TAIB Holdings Sdn. Bhd., Dr. Awang Norfarizal bin Othman; Pemangku Pengarah Urusan, Insurans Islam TAIB Holdings Sdn. Bhd., Haji Mohd Yusreza bin Haji Mohd Yassin; dan, Pengarah Urusan, Darussalam Holdings Sdn. Bhd., Haji Mahmud bin Haji Mohamed; Ketua-ketua Jabatan, berserta pegawai-pegawai dan kakitangan di Kementerian Kesihatan.

 

Close